PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan Jerayawara Jelajah Pendidikan ke seluruh negara bermula tahun hadapan bagi mendapatkan pandangan berhubung pelan pembangunan pendidikan berkaitan kurikulum persekolahan baharu 2027.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, antara elemen baharu yang akan diteliti termasuk pendidikan karakter, fleksibiliti dan aspek pendigitalan.

“Sebagaimana disebut dalam ucapan belanjawan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (13 Oktober lepas), (beliau) menyebut tentang jerayawara yang berkait rapat dengan pendidikan masa depan.

“Jadi selepas ini anjakan yang kita akan lakukan adalah melakukan jerayawara ini di seluruh negara melibatkan pelbagai peringkat segmen komuniti yang merupakan pihak berkepentingan dalam pendidikan untuk menjayakan yang kita sebut agenda pendidikan masa depan,” katanya kepada media selepas Majlis Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru (IPG) KPM di sini pada Ahad.

Beliau berkata, KPM mengalu-alukan pandangan daripada semua pihak berkaitan pembangunan kurikulum baharu pendidikan negara.

“Kita nak input dan pembabitan daripada semua peringkat masyarakat untuk memperkukuh sistem pendidikan negara,” katanya.
Sebelum ini, Fadhlina dilaporkan berkata, KPM akan mencadangkan kerangka pendidikan menyeluruh dan pelan pendidikan baharu yang mengambil kira faktor global dan dasar dalam pembentukan karakter warganegara.